Sejarah Yee sang

Hidangan ini direka di kawasan pantai selatan Cina seperti Chaozhou dan Shantou kira-kira 1,500 tahun dahulu, ketika Dinasti Song. Menurut lagenda, seorang dewi Cina yang dikenali sebagai Nǚwō (女娲) memperbuat manusia daripada tanah dan lumpur pada hari ketujuh bulan pertama tahun baru qamari. Sejak itu, hari ini dikenali sebagai "Hari Lahir Manusia". Adalah dipercayai bahawa kaum nelayan dan pelaut China Selatan zaman silam amat menghormati mitos ini. Pada masa kini, yusheng dihidangkan dalam jamuan atau upacara keagamaan, bukan sahaja untuk memperingati peristiwa itu, malah untuk memberi penghormatan kepada Nüwo. Pada abad ke-19 dan awal abad ke-20, kebanyakan nelayan ini berhijrah ke negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia dan Singapura untuk kehidupan yang lebih baik, dan membawa bersama hidangan tradisi ini. Setakat ini tiada kajian ilmiah yang dapat menyokong pada mitos dan lagenda ini namun ianya dapat dibuktikan jika satu kajian lapangan dan rujuk silang hikayat dilakukan secara serius untuk membuktikannya sepertimana kajian Schliemann pada tahun 1873 yang menemukan Kota Troy di Turki berdasarkan kajian beliau pada epik terkenal Illiad oleh Homer,dimana Kota Troy dalam Illiad dikatakan hanya dongeng dan mitos oleh para pengkaji.

Yee sang dimulakan di Kuala Lumpur kira-kira pada awal 1950-an, sebagai hidangan yang disajikan hanya selepas hari Tahun Baru Cina apabila restoran dibuka semula, dan restoran menyajikan hidangan ini sebagai pembuka selera untuk memupuk 'tuah' untuk tahun berikutnya.

Kini, "Lo Hei" -- melambung yee sang -- ialah satu adat resam Tahun Baru Cina di Malaysia dan Singapura yang mana saudara-mara berkumpul di keliling meja lalu melambung cebisan ramuan ke udara dengan penyepit apabila disuruh, sambil melaungkan ucapan untuk menandakan bermulanya tahun yang makmur.

Ramuan-ramuan biasa termasuk: ikan salmon segar, daikon (lobak putih), lobak merah, cili kembung, halia, kaffir lime leaves, parsli Cina, potongan kacang tanah, biji bijan bakar, keropok udang Cina (atau udang kering goreng), dan tepung lima rempah. Kuahnya diperbuat terutamanya daripad sos plum.